Wednesday, April 22, 2009

PANTI ASUHAN

PANTI ASUHAN

(mengingati jasa insan-insan yang telah memperjuangkan penubuhan PERYATIM)


Malam itu usrah harakah

mentafsir firman-Nya

tentang mereka

anak terbuang

ditinggal mentari

sebelum dinihari kembali


sambil memerhati

seputar diri

resah mencelah

anak kecil

dimurungi takdir

lantas azam dihunjam

membina kehidupan

untuk anak permata zaman


Panti asuhan

adalah azam para insani

memahami makna kasih sayang

keinginan menjadi manusia

melindungi kemanusiaan

ketika ada yang terlupa jalan pulang


Dalam tenang malam

munajat melayang

mencecah persada

“jangan biarkan Panti Asuhan

menjadi kosmetik politik,

mereka tidak memahami

erti simpati dihidang

dalam talam hipokrasi”


malam itu telah terpateri

di hati moralis

kesungguhan

melihat kebenaran

di balkoni simpati

tanpa retorik

tanpa busa pura-pura


Panti Asuhan

adalah nyala kandil luhur budi

menjadi lentera penunjuk jalan

anak-anak permata

menyusuri labirin dan terowong

menjanjikan cahaya di hujungnya

bukan fatamorgana yang dusta.


21.04.2009



Tuesday, February 24, 2009

ELEGI GAZA SERIBU LUKA


TELAH mengalir darah pekat

di dada bumi anbia

merakam cerita duka

bangsa kehilangan negara,

merah mewarnai jubah

jasad-jasad syuhada ,

seperti kelompok kapar

dihanyutkan arus kekejaman

menuju ke muara syurga

diiringi deru air mata

telah sirna kuasanya.


Sewaktu dibunuhnya anak-anak merdeka

dari bumi Gaza berselimut dura

dengan senjata paling ganas

atas nama keselamatan negara,

seluruh penduduk bumi

berdiri bisu, kaku, lesu

seperti jasad tidak bernyawa

sedang Gaza nazak luka

membusa aroma syurga


Gaza kian menyala

menjadi unggun perjuangan

enggan padam,

enggan mati,

baranya mimpi ngeri

menghantui jiwa-jiwa pendera

dari alam songsang

pada malam waham

dikejar bayang-bayang kematian


enam dekad lampau

mereka melakar peta baru

melahirkan negeri magersari

di tapak suci bumi ,

kemanusiaan pun mati

keadilan ikut terkubur dari pentas PBB

bersama kehilangan sebuah Palestin

tinggal puing-puing kehancuran

jiwa anak bangsa merdeka

merangkak dan terus bernyawa

membakar seluruh jiwa


hari ini unggun penentangan bernyala di Gaza

apinya membakar jiwa manusia

yang mengerti nilai harga sebuah negara

jangan biarkan mereka terpenjara

di sebalik tembok pura-pura

kemerdekaan jiwa tidak dapat dibunuh

dengan dengan seribu luka.


25 Februari 2009

Saturday, February 21, 2009

SEJARAH



Saya sangat menggemari mata pelajaran Sejarah. Ketika berada di dalam tingkatan satu saya diajar mata pelajaran sejarah oleh seorang guru bernama Mrs. Wee. Dia seorang guru yang baik dan sangat jelas cara beliau mengajar, ditambah suaranya yang lantang dan terang d an intonasi yang menarik membuat saya jatuh hati pada mata pelajaran sejarah. Tapi , apa yang menyebabkan saya menggilai sejarah kerana sejarah bercerita tentang manusia masa lalu. Mempelajarinya sepertimembawa kita ke zaman masa lalu.

Kata pujangga, sejarah adalah saksi bisu perjalanan masa. Ia menerangi realiti, memperkuatkan ingatan, memberi petunjuk untuk menjalani kehidupan seharian dan membawa kepada kita khabar baik tentang zaman purba. Ada juga yang berkata sejarah membuat manusia lebih bijaksana.

Oleh itu tanggungjawab menulis sejarah sangat penting. Kejujuran amat diperlukan dalam menulis sejarah. Sejarah yang ditulis oleh tangan yang curang akan membawa kepada kehancuran generasi masa muka, kerana mereka tidak dapat mempelajari masa lalu yang dicemari pembohongan.

Tapi, bagaimana sejarah harus ditulis dengan jujur dan benar jika sejarah ditulis oleh pihak yang menang. Dan pihak yang menang sudah tentu akan menulis sejarah menurut kehendak acuan pemikiran dan demi ketahanan dan survival mereka sendiri.

Sejarah seharusnya mencatatkan fakta yang benar tanpa tokok tambah. Sayangnya jika sejarah ditulis oleh pihak yang menang, sudah pasti setiap tindakan pihak yang kalah akan digambarkan sebagai sesuatu yang buruk yang telah dilakukan oleh mereka.

Fakta sejarah jelas, tetapi pentafsiran manusia tentang sesuatu fakta yang ada amat berbeza sekali. Suatu ketika penentang pemerintah boleh dianggap sebagai lanun, perompak dan pengacau. Pada zaman yang lain mereka berubah menjadi pembela tanah air, pejuang kemerderkaan dan lain-lain yang baik. Ada masanya ketua samseng yang menyusahkan orang miskin dengan tindakan kejam mereka pada masa yang lain boleh menjadi wirea bangsa. Mengapa terjadi begitu. Tentu ia berkaitan dengan kepentingan masing-masing.

Sejarah boleh menjadi petunjuk dan membuat manusia bijaksana tapi dalam masa yang sama ia boleh digunakan untuk membodohkan bangsa melalui pemutarbelitan sejarah. Sejarah perlu dipelajari dan diingati kerana mereka yang tidak ingat akan sejarah masa lalu pasti akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.

Semoga kita dihindari oleh Allah daripada terperosok dibawa ke lorong kebodohan oleh mereka yang mempermainkan sejarah.

PROLOG

Assalamualaikum Warahmatullah wabarakatuh dan salam persaudaraan,
Dalam kita menyusur laluan hayat banyak sekali perkara yang berlaku. Dan setiap sesuatu yang dialami itu ada hikmah dan kebaikannya. Yang penting harus terima dengan penuh kesabaran dan keyakinan bahawa Allah tetap sayang pada hamba yang mengingati-Nya.

Sesekali terfikir di dalam benak hati untuk menulis setiap perjalanan hidup untuk tatapan masyarakat khususnya buat pewaris keluarga. Semoga apa yang ditulis itu boleh membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada manusia . Kalau harimau yang mati, akan meninggalkan belangnya, biarlah manusia mati akan meninggalkan namanya yang baik dan menjadi ikutan masa muka oleh generasi penerus kehidupan.

Untuk permulaan tulisan biar berhenti di sini seketika.Pasti masa muka akan diisi dengan catatan perjalanan hidup. Semoga bahagia menjadi milik anda.
Allah jua yang maha mengetahui.